Wednesday, February 16, 2011

Perginya Nidhal Haniff al-Hadi


Dari tanah kita datang, ke tanah juga kita kembali. Sesungguhnya Allah lebih menyayanginya.

Tanggal 15-Februari-2011 bersamaan 12 Rabi'ul Akhir 1432H, kembalinya Nidhal Haniff al-Hadi kembali ke rahmatullah selepas 12 jam menjenguk ke dunia. Tiada kata selain takziah buat adik saya Hafis dan isteri (Net) atas kembalinya anak yang tercinta ke rahmatullah.

Walaupun perginya Nidhal Haniff al-Hadi telah dijangka sejak dari dalam kandungan lagi, tetapi bila tiba masanya, kehilangannya tetap kami sekeluarga merasai. Sedihnya hati kami, sedih lagi hati Net yang telah membawanya selama 35 minggu di dalam kandungan.

Sayu sungguh hati aku masa mendukung jenazah Haniff di pangkuan sepanjang perjalanan dari Hospital Sultanah Aminah ke kampung untuk disemadikan. Tapi derai air mata terpaksa aku tahan, sebab jika mengalir air mata, mesti adik aku sedih. Tabah sungguh Hafis dalam mengharungi dugaan Allah ni. Sungguh tabah.

Dia lah yang menguruskan semuanya. Kami hanya membantu apa yang terdaya. Dalam menguruskan jenazah, menguruskan isteri yang baru bersalin, menjaga perasaan isteri, dia masih mampu tersenyum menyembunyikan kesayuan di hati. Makin aku perhati, makin sayu aku rasa. Dah besar panjang dah adik aku rupanya.

Tabah ye, Haniff akan tunggu umi & abah dia di titian sirratulmustaqeem nanti. Insya Allah.

No comments: